Ini adalah Kisah Perdebatan Bumi dan Langit dalam Peristiwa Isra' Mi'raj Rasulullah. Adapun terjadinya peristiwa Isra' dan Mi'raj
adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit,
"Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah
menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai,
tanam-anaman, beberapa gunung dan lain-lain."
Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih
elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj,
'arasy, kursi dan syurga ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada
rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para
wali dan solihin (orang-orang yang baik)."
Bumi berkata lagi, "Hai langit,
sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan
kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta
kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia
menjalankan syari'atnya juga di tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila
bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T
dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang
tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab
soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau
dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan
berbangga."
Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit,
kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27
Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau
'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah
kiamat telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak,
wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus
pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat
40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing
terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang
pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S.
menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya
buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya
aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah
tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak
mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata Jibrail A.S., "Aku akan
menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan
kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Wallahu'alam.
Buraq yang diceritakan inilah yang membawa
Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.