Nabi Idris masih hidup disurga: Diriwayatkan bahwa Nabi Idris as telah naik ke
langit pada hari Senin. Peristiwa naiknya Nabi Idris as ke langit ini, telah
dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran.
“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka)
kisah, Idris yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang
yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke
martabat yang tinggi.” (Maryam: 56-57)
Nama Nabi Idris as yang sebenarnya adalah
‘Akhnukh’. Sebab beliau dinamakan Idris, kerana beliau banyak membaca,
mempelajari (tadarrus) kitab Allah SWT.
Setiap hari Nabi Idris menjahit qamis (baju
kemeja), setiap kali beliau memasukkan jarum untuk menjahit pakaiannya, beliau
mengucapkan tasbih. Jika pekerjaannya sudah selesai, kemudian pakaian itu
diserahkannya kepada orang yang memesannya tanpa meminta upah. Walaupun
demikian, Nabi Idris masih sanggup beribadah dengan amalan yang sulit untuk
digambarkan. Sehingga Malaikat Maut sangat rindu berjumpa dengan beliau.
Kemudian Malaikat Maut bermohon kepada Allah SWT,
agar diizinkan untuk pergi menemui Nabi Idris as. Setelah memberi salam,
Malaikat pun duduk.
Nabi Idris as. mempunyai kebiasaan berpuasa
sepanjang masa. Apabila waktu berbuka telah tiba, maka datanglah malaikat dari
Syurga membawa makanan Nabi Idris, lalu beliau menikmati makanan tersebut.
Kemudian baginda beribadah sepanjang malam. Pada
suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari
Syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu. Kemudian Nabi Idris berkata kepada
Malaikat Maut: “Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama.”
Tetapi Malaikat itu menolaknya.
Nabi Idris terus melanjutkan ibadahnya, sedangkan
Malaikat Maut itu dengan setia menunggu sampai terbit matahari. Nabi Idris
merasa heran melihat sikap Malaikat itu.
Kemudian beliau berkata: “Wahai tuan, mahukah
tuan berjalan-jalan bersama saya untuk melihat keindahan alam sekitar? Malaikat
Maut menjawab: Baiklah Wahai Nabi Allah Idris.”
Maka berjalanlah keduanya melihat alam sekitar
dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka
sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris as.:
“Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya untuk mengambil ini untuk saya makan?
Nabi Idris pun menjawab: Subhanallah, mengapa malam tadi tuan tidak mahu
memakan makanan yang halal, sedangkan sekarang tuan mahu memakan yang haram?”
Kemudian Malaikat Maut dan Nabi Idris meneruskan
perjalanan mereka. Tidak terasa oleh mereka bahawa mereka telah bejalan-jalan
selama empat hari. Selama mereka bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa
keanehan pada diri temannya itu. Segala tingkah lakunya berbeda dengan
sifat-sifat manusia biasa. Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin
tahunya itu.
Kemudian beliau bertanya: “Wahai tuan, bolehkah
saya tahu, siapakah tuan yang sebenarnya? Saya adalah Malaikat Maut.”
“Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa
makhluk?”
“Benar ya Idris.”
“Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari,
adakah tuan juga telah mencabut nyawa-nyawa makhluk?”
“Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali
nyawa yang telah saya cabut. Roh makhluk-makhluk itu bagaikan hidangan di
hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap-nyuap makanan.”
“Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang,
apakah untuk ziarah atau untuk mencabut nyawaku?”
“Saya datang untuk menziarahimu dan Allah SWT
telah mengizinkan niatku itu.”
“Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu
permintaanku kepadamu, yaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohonkan
kepada Allah agar Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah
Allah setelah aku merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu.”
Malaikat Maut pun menjawab: “Sesungguhnya saya
tidaklah mencabut nyawa seseorang pun, melainkan hanya dengan keizinan Allah.”
Lalu Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut,
agar ia mencabut nyawa Idris as. Maka dicabutnyalah nyawa Idris saat itu juga.
Maka Nabi Idris pun merasakan kematian ketika itu.
Di waktu Malaikat Maut melihat kematian Nabi
Idris itu, maka menangislah ia. Dengan perasaan hiba dan sedih ia bermohon
kepada Allah supaya Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah
mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan oleh Allah SWT
kembali.
Kemudian Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan ia
bertanya: “Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut itu?
Bila seekor binatang dikuliti kulitnya ketika ia masih hidup, maka sakitnya
maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya. Padahal-kelembutan yang saya
lakukan terhadap tuan, ketika saya mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya
lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan. Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai
permintaan lagi kepada tuan, iaitu saya sungguh-sungguh berhasrat melihat
Neraka, supaya saya dapat beribadah kepada Allah SWT lebih banyak lagi, setelah
saya menyaksikan dahsyatnya api neraka itu. Wahai Idris as. saya tidak dapat
pergi ke Neraka jika tanpa izin dari Allah SWT.”
Akhirnya Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat
Maut agar ia membawa Nabi Idris ke dalam Neraka. Maka pergilah mereka berdua ke
Neraka. Di Neraka itu, Nabi Idris as. dapat melihat semua yang diciptakan Allah
SWT untuk menyiksa musuh-musuh-Nya. Seperti rantai-rantai yang panas, ular yang
berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok-pokok yang penuh
berduri, air panas yang mendidih dan lain-lain.
Setelah merasa puas melihat keadaan Neraka itu,
maka mereka pun pulang. Kemudian Nabi Idris as. berkata kepada Malaikat Maut:
“Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai hajat yang lain, iaitu agar tuan dapat
menolong saya membawa masuk ke dalam Syurga. Sehingga saya dapat melihat
apa-apa yang telah disediakan oleh Allah bagi kekasih-kekasih-Nya. Setelah itu
saya pun dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah SWT. Saya tidak dapat
membawa tuan masuk ke dalam Syurga, tanpa perintah dari Allah SWT.” Jawab
Malaikat Maut.
Lalu Allah SWT pun memerintahkan kepada Malaikat
Maut supaya ia membawa Nabi Idris masuk ke dalam Syurga.
Kemudian pergilah mereka berdua, sehingga mereka
sampai di pintu Syurga dan mereka berhenti di pintu tersebut. Dari situ Nabi
Idris dapat melihat pemandangan di dalam Syurga. Nabi Idris dapat melihat
segala macam kenikmatan yang disediakan oleh Allah SWT untuk para wali-waliNya.
Berupa buah-buahan, pohon-pohon yang indah dan sungai-sungai yang mengalir dan
lain-lain.
Kemudian Nabi Idris berkata: “Wahai saudaraku
Malaikat Maut, saya telah merasakan pahitnya maut dan saya telah melihat
dahsyatnya api Neraka. Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar
Allah mengizinkan aku memasuki Syurga untuk dapat meminum airnya, untuk
menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api Neraka?”
Maka Malaikat Maut pun bermohon kepada Allah.
Kemudian Allah memberi izin kepadanya untuk memasuki Syurga dan kemudian harus
keluar lagi. Nabi Idris pun masuk ke dalam Syurga, beliau meletakkan sepatunya
di bawah salah satu pohon Syurga, lalu ia keluar kembali dari Syurga. Setelah
beliau berada di luar, Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai Malaikat
Maut, aku telah meninggalkan sepatuku di dalam Syurga.
Malaikat Maut pun berkata: Masuklah ke dalam
Syurga, dan ambil sepatu tuan.”
Maka masuklah Nabi Idris, namun beliau tidak
keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya: “Ya Idris, keluarlah!. Tidak,
wahai Malaikat Maut, kerana Allah SWT telah berfirman bermaksud:
“Setiap yang berjiwa akan merasakan mati.” (Ali-Imran:
185)
Sedangkan saya telah merasakan kematian. Dan
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan
mendatangi Neraka itu.” (Maryam: 71)
Dan saya pun telah mendatangi Neraka itu. Dan
firman Allah lagi yang bermaksud:
“... Dan mereka sekali-kali tidak akan
dikeluarkan daripadanya (Syurga).” (Al-Hijr: 48)
Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut
itu: “Biarkanlah dia, kerana Aku telah menetapkan di azali, bahawa ia akan
bertempat tinggal di Syurga.”
Allah menceritakan tentang kisah Nabi Idris ini
kepada Rasulullah SAW dengan firman-Nya bermaksud:
“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka,
kisah) Idris yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang
yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan kami telah mengangkatnya ke
martabat yang tinggi.” (Maryam: 56-57)