Nabi Muhammad SAW merupakan nabi
terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan
kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah
diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan
kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat
tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut
diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.
Subuh:
Manusia pertama yang mengerjakan
solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu
diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda
berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s.
pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama: Tanda bersyukur
kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana
siang telah menjelma.
Zohor:
Manusia pertama yang mengerjakan
solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan
padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu
tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.
Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi
penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana
dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan
memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur
kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
Asar:
Manusia pertama yang mengerjakan
solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT
dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai,
sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu
bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT
daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama: Kelam dengan
kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut
ikan Nun.
Maghrib:
Manusia pertama yang mengerjakan
solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah
SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya
matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana
diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
Rakaat pertama: Untuk menafikan
ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan
tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh
melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan
kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau
tiganya.
Isyak:
Manusia pertama yang mengerjakan
solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat
mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan
perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada
waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda
bersyukur.
Rakaat pertama: Tanda dukacita
terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita
terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita
terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita
terhadap anak Firaun
sumber